DUNGUN - Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) bakal menerima empat set Electric Multiple Unit (EMU) merangkumi masing-masing dua tren penumpang dan lokomotif bagi operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, keempat-empat EMU terbabit akan menjalani sesi ujian sulung pada Jun tahun depan.
"Secara keseluruhan, kita akan memperoleh 11 EMU tren penumpang dan 20 tren lokomotif yang akan diterima secara berfasa.
"Baki sembilan lagi EMU tren penumpan dijadual tiba pada bulan April dan Mei tahun hadapan," katanya selepas merasmikan Mega Fiesta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Politeknik dan Kolej Komuniti di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini semalam.
Darwis berkata, projek ECRL yang telah mencapai kemajuan 84.59 peratus kini berada di landasan tepat untuk disiapkan mengikut jadual pada akhir tahun depan, sebelum mula beroperasi 1 Januari 2027.
Beliau berkata, terowong terpanjang ECRL yang merentasi Pahang dan Selangor sejauh 16.3 kilometer juga telah berjaya ditembusi sepenuhnya pada Sabtu lalu.
"Kini keseluruhan jajaran ECRL bermula dari Kota Bahru, Kelantan hingga Pelabuhan Klang, Selangor telah bersambung.
"Ia perkembangan baik yang ditunggu rakyat, berbaki sekali raya (Aidilfitri) lagi mereka boleh menaiki ECRL mulai 1 Januari 2027," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Darwis berkata, seramai 210 pelajar institusi pengajian tinggi termasuk dari PSMZA telah dihantar untuk menjalani latihan insentif selama setahun di Liuzhou, China sebagai persediaan pengoperasian ECRL.
Kesemua pelajar terbabit akan diserap masuk sebagai tenaga kerja ECRL apabila projek mega itu mula beroperasi kelak.
"Ia komitmen MRL menyokong aspirasi TVET kebangsaan, sekaligus memastikan anak tempatan terlibat secara langsung dalam pengoperasian ECRL," katanya.
No comments:
Post a Comment