Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad (TDM) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mencatat pendapatan RM645.6 juta pada tahun lalu.
Pengerusi TDM, Tengku Datuk Seri Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pendapatan tertinggi dalam sejarah itu membolehkan kumpulan mencatatkan keuntungan dalam tempoh lima tahun berturut-turut.
“Bahagian perladangan mencatatkan pendapatan RM291.2 juta iaitu peningkatan RM29.6 juta berbanding tahun 2023. “Pendapatan RM354.4 juga diraih daripada bahagian penjagaan kesihatan iaitu peningkatan RM21.6 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan TDM ke-60 di sini semalam.
Tengku Farok Hussin menjelaskan, kekukuhan pendapatan segmen perladangan didorong oleh peningkatan pengeluaran dan harga minyak sawit mentah yang tinggi pada tahun lalu.
Beliau berkata, TDM Plantation juga telah mempergiatkan usaha mekanisasi dengan memperkenalkan pemotong sawit mekanikal dan memperluas penggunaan sistem pengumpulan buah sawit secara mekanikal di ladang.
“Kita telah menerapkan teknologi digital bagi memantau prestasi ladang dan mengoptimumkan penggunaan tanah.
“Kecekapan pengurusan ladang kelapa sawit turut dipertingkat menerusi inisiatif hijau seperti pemasangan panel solar, projek dandang hijau dan kredit karbon,” katanya.
Tengku Farok Hussin berkata, prestasi bahagian penjagaan kesihatan disumbang oleh operasii lima hospital pakar.
No comments:
Post a Comment