Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan AZLI ADLAN
PEKAN – Dua pemandu masing-masing lelaki dan wanita maut selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan lori sawit dalam dua kejadian berasingan di daerah ini dan Setiu, Terengganu kelmarin.
Nahas pada pukul 11.05 malam di Kilometer (KM) 60, Jalan Pekan-Rompin di sini, mengorbankan mangsa, Muhammad Fakhri Waqiuddin Basri, 22, yang memandu kereta jenis Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Pekan menghala ke Rompin.
“Setibanya di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.
“Akibatnya, pemandu kereta cedera parah dan disahkan maut di lokasi. Drebar lori pula tidak cedera,” katanya yang memberitahu lokasi kejadian merupakan jalan lurus dan gelap.
Di Setiu, jurujual kereta, Tuan Nur Amirah Tuan Azhar, 32, maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandu bertembung dengan lori muatan sawit di KM 50, Jalan Pantai Kuala Terengganu-Permaisuri berhampiran Kampung Telaga Putat pada pukul 6.11 petang.
Dalam kejadian itu, mangsa maut akibat cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, ketika kejadian, Tuan Nur Amirah dalam perjalanan ke Pasir Puteh, Kelantan dari rumahnya di Kampung Pak Kancil Luar.
“Kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh lori yang dalam perjalanan ke sebuah kilang di Kampung Rahmat,” katanya.
Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Pemandu lori berusia 41 tahun tidak ce dera.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pe ngangkutan Jalan 1987

No comments:
Post a Comment