Translate

Friday, December 5, 2025

Pola cuaca ekstrem ancam Asia Tenggara

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

RANTAU Asia Tenggara diuji dengan cuaca ekstrem sejak dua minggu lalu yang telah menjejaskan Vietnam, Thailand, Indonesia, Malaysia dan Filipina. 

Pembentukan lekukan yang membawa banjir besar, ribut tropika dan taufan tersebut antara paling aktif melanda Asia Tenggara dalam tempoh 30 tahun dan boleh dikatakan bencana alam kedua terburuk rantau ini dalam era moden selepas tsunami pada 2004.

Selain kerosakan harta benda dan infrastruktur awam, fenomena alam tersebut turut meragut banyak nyawa. Ribut Verbena yang merupakan antara paling dahsyat pernah melanda Vietnam meragut lebih 100 nyawa. 

Banjir besar melanda Selatan Thailand terutama Hatyai yang terburuk dalam tempoh 300 tahun pula telah menyebabkan lebih 150 kematian. 

Filipina juga menghadapi beberapa siri ribut taufan tidak henti-henti yang setakat ini telah meragut kira kira 259 nyawa. 

Ribut tropika Senyar yang tercetus pada 27 November lalu pula menyebabkan sekurang kurangnya 336 kematian di Sumatera, Indonesia manakala dua di Malaysia. 

 Impak cuaca ektrem pada Monsun Timur Laut (MTL) di negara ini juga menyebabkan banjir gelombang pertama yang biasanya hanya melanda Pantai Timur telah merebak ke semua negeri kecuali Johor. 

 Ancaman lekukan tropika ini tidak berhenti setakat minggu ini malah dijangka berterusan sehingga berakhirnya MTL pada Mac depan termasuk yang sedang bergerak ke barat laut Mukah, Sarawak mulai Ahad lalu. 

 Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, pola cuaca ekstrem yang melanda Asia Tenggara pada masa ini bukan sekadar disebabkan MTL malah kesan perubahan iklim dunia. 

 Beliau berkata, ribut tropika Senyar misalnya unik kerana buat julung kalinya disebabkan lekukan yang terbentuk di Selat Melaka yang sempit.

 “Ia berbeza dengan dua ribut tropika yang pernah melanda negara sebelum ini iaitu Greg dan Vamey masing-masing pada 26 Disember 1996 dan 26 Disember 2001. 

 “Kedua-dua ribut tropika terdahulu terbentuk disebabkan lekukan sistem tekanan rendah yang bergerak dari Kepulauan Borneo menerusi Laut China Selatan,” katanya kepada Kosmo!. 

 Jing Xiang berkata, pembentukan banyak lekukan menyebabkan ribut tersebut dipercayai berkait rapat dengan pertembungan fenomena Dipol Lautan Hindi dan La Nina. 

 Ujarnya, fenomena Dipol Lautan Hindi itu yang berada pada fasa negatif dan peningkatan suhu sebahagian perairan rantau Asia Tenggara disebabkan La Nina telah merangsang pembentukan lekukan. 

 “Itu hepotesis awal pola cuaca ektrem sedang melanda rantau Asia Tenggara termasuk negara kita pada masa ini. 

 “Kajian saintifik lanjut perlu dilakukan bagi kita lebih memahami mekanisme fenomena alam ini agar kita lebih bersedia menghadapinya pada masa depan,” katanya. 

 Jing Xiang berkata, perubahan iklim dunia yang sedang berlaku ini secara tidak langsung telah meningkatkan kemungkinan negara semakin terdedah dengan ancaman ribut tropika pada masa depan. 

 Beliau menyarankan agensi penyelamat agar membuat persediaan pengendalian ribut tropika daripada pihak berkuasa Filipina dan Vietnam yang lebih berpengalaman dengan ancaman bencana alam tersebut.

No comments:

Post a Comment