Translate

Wednesday, May 25, 2022

‘Suami pernah luah hasrat mahu letak jawatan penolong kanan’

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang isteri tidak menyangka hasrat suaminya untuk meletak jawatan sebagai guru penolong kanan kokurikulum sebagai petanda kematiannya.

Rohaya Jusoh, 51, berkata, suaminya, Sugani Yasin, 51, yang ditemui lemas sewaktu memukat ikan di Pantai Kuala Baru, ­Mangkuk di sini memberitahu dia hanya mahu menjadi guru biasa selepas ini.

“Arwah suami (Sugani) bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buluh di sini.

“Dia berhasrat kembali menjadi guru biasa dan menumpukan kepada kelas tuisyen Matematik Tambahan yang merupakan subjek paling digemarinya,” katanya di sini semalam.

Rohaya berkata, suaminya juga tidak ghairah untuk membeli baju raya sebaliknya mahu memakai baju lama pada pagi 1 Syawal ini.

Tambahnya, pada mulanya dia tidak perasan apa-apa kerana kebetulan arwah suaminya mempunyai koleksi baju Melayu yang banyak dan pelbagai warna.

“Sebelum kejadian, dia (Su­gani) memberitahu mahu memukat ikan bersama kawan-kawan. Memang itu hobinya sejak dahulu.

“Biasanya hasil laut yang berjaya dipukat akan dibawa pulang untuk hidangan keluarga selain sebahagiannya disedekahkan kepada jiran-jiran,” ujarnya.


Rohaya yang masih terkejut tetapi reda dengan berita buruk itu memberitahu, jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bahagia, Bintang di sini.

Ketua Polis Daerah Setiu, De­puti Superintendan Afandi Hus­sin berkata, mayat Sugani ditemui pada pukul 12.22 tengah malam semalam tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Sugani ditemui kira-kira 24 jam selepas hilang pada pukul 12.45 tengah malam kelmarin.

Kosmo! semalam melaporkan keceriaan 15 sekawan memukat ikan berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas di Pantai Kuala Baru, Mang­kuk di sini.

Sugani dikatakan termasuk ke dalam laluan air laut agak dalam sebelum dihanyutkan arus laut sewaktu sedang menarik pukat bersama rakan-rakannya. -KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment