Translate

Thursday, May 26, 2022

Buluh mahal, lemang naik harga

Oleh MOHD AZLI ADLAN, MOHD YUNUS YAKKUB, ZAKI SALLEH, OTHMAN YAHAYA dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

PETALING JAYA – Kenaikan harga buluh lemang antara 50 sen sehingga RM1 sebatang membuatkan terdapat peniaga lemang terpaksa menaikkan harga jualan juadah tersebut.

Di Shah Alam, seorang peniaga, Mohd. Saiful Baharin Yahaya, 33, berkata, batang buluh me­ngalami kenaikan antara 50 sen hingga RM1 pada tahun ini bergantung kepada pembekalnya.

Katanya, dia sendiri mendapat bekalan pada harga RM1.50 berbanding RM1 pada tahun lalu.

“Jadi, tahun ini lemang biasa dan jagung dijual pada harga RM17 dan RM19 dengan peningkatan masing-masing sebanyak RM2. Kami hanya menjual satu saiz sahaja.

“Kalau boleh memang nak kekal harga sama, namun kos tinggi pada batang buluh dan itu belum termasuk santan dan beras pulut lagi,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Manakala bagi seorang lagi peniaga, Amin Nouvo Azwa, 38, dia masih bertahan pada harga lama iaitu antara RM15 hingga RM22 mengikut saiz.

Ujarnya, dia memperoleh sebatang buluh pada harga murah iaitu RM1.20 dan ada beberapa pembekal di Lembah Klang menjualnya RM2.20 sebatang.

“Kami masih kekalkan kuantiti dan kualiti yang sama selepas berniaga empat tahun,” jelasnya.

Di Sungai Petani, seorang peniaga, Saiful Aisha, 43, me­ngaku terpaksa menjual lemang pada harga lebih tinggi berban­ding tahun lalu berikutan ke­naikan harga bahan utama se­perti beras pulut dan buluh.

“Kenaikan mendadak bahan asas itu termasuk kelapa serta daun pisang menyebabkan saya tidak boleh ambil risiko rugi jika masih menjual pada harga lama.

“Beras pulut dibeli pada harga RM180 seguni dengan berat 50 kilogram (kg) berbanding tahun lalu kira-kira RM165.

“Kenaikan harga buluh berukuran 60 sentimeter sebatang sebanyak 50 sen juga meningkatkan kos jualan,” katanya.

Di Ipoh, penjual lemang, ­Azrie Atan, 40, berkata, para peniaga tidak menolak kemungkinan akan menaikkan harga jualan pada Aidilfitri kali ini.

“Kebiasaannya sebatang lemang dijual pada harga RM12 hingga RM15 mengikut saiz, manakala RM15 hingga RM18 untuk lemang jagung.

“Sebelum ini saya ambil bekalan buluh daripada penduduk kampung atau masyarakat Orang Asli sekitar Chemor,” katanya.

Ujarnya, buluh lemang itu dibeli pada harga RM1.20 bagi satu ruas tanpa daun pisang dan RM2 jika disiapkan bersama daun pisang.

“Tahun ini mungkin harga buluh naik atas alasan sukar untuk dicari selain kenaikan harga petrol sebab kos penghantaran.

“Semua penjual lemang pun tengah berkira-kira tentang kos, tapi berdasarkan pengalaman lalu kenaikan RM1 hingga RM2 tidak terlalu tinggi pada pembeli,” ujarnya.

Seorang lagi penjual lemang, Syed Aminuddin Syed Harun berkata, sejak mula puasa ada pembekal buluh mula menaikkan harga antara 20 sen hingga 50 sen sebatang.

Katanya, harga sebatang buluh lemang disiapkan bersama daun pisang adalah RM2.50, malah ada yang menjual RM3.

“Lemang yang sedap mesti nak diisi pulut dan santan yang banyak, kalau kedekut santan pula itu bukan lemang,” katanya.

Di Kuala Terengganu, pengusaha lemang di Terengganu termasuk lemang Kijal, Kemaman memberi jaminan tidak akan menaikkan harga juadah itu pada Aidilfitri nanti.

Seorang peniaga, Ismail Bakar, 56, berkata, dia dan penjual-penjual lemang lain di Terengganu dapat menyerap kos kerana kenaikan harga buluh dan beras pulut di negeri ini tidak setinggi tempat-tempat lain.

“Sebelum ini, 10 ruas buluh didapati daripada pembekal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu dijual pada harga RM4 tetapi tahun ini telah melonjak kepada RM10.

“Begitu pun, saya tidak sampai hati untuk menaikkan harga dan mengekalkan sebatang lemang pada harga antara RM6 hingga RM9 mengikut saiz,” katanya ketika ditemui.

Ismail berkata, pengekalan harga itu bagi menghargai pe­langgannya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan terutama sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

No comments:

Post a Comment