Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengisytiharkan 5 Mei ini sebagai cuti peristiwa sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti peristiwa tersebut akan dikuatkuasakan sekiranya 1 Syawal jatuh pada 3 Mei ini.
“Saya telah bersetuju mengisytiharkan 5 Mei ini iaitu hari Khamis sebagai cuti peristiwa (sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri).
“Begitupun cuti peristiwa ini dengan syarat Hari Raya (Aidilfitri) pertama jatuh pada hari Selasa iaitu 3 Mei,” katanya sewaktu merasmikan sambutan Hari Wanita peringkat Terengganu di sini hari ini.
Cuti peristiwa itu membolehkan rakyat negeri ini menikmati cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri lebih lama selama lima hari dari 3 Mei hingga 7 Mei ini.
Mereka juga akan bercuti umum pada 1 Mei ini iaitu Ahad ini sempena sambutan Hari Pekerja.
Kosmo! 22 April lalu melaporkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menetapkan tarikh melihat anak bulan Syawal pada petang Ahad ini iaitu 1 Mei 2022 bersamaan 29 Ramadan 1443 Hijrah. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment