MARANG – Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan di sini tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia sewaktu melakukan aktiviti merentas desa hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.05 pagi itu, remaja lelaki berusia 16 tahun itu dikatakan terjatuh akibat tersadung kaki sebelum tidak sedarkan diri sebaik tiba di persimpangan Kampung Asing, Pengkalan Berangan di sini.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris berkata, mangsa telah diberi bantuan pernafasan sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan di sini.
“Pegawai perubatan bertugas mengesahkan pelajar itu sudah meninggal dunia. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Bedah siasat tidak dilakukan atas permintaan keluarga,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, ibu pelajar itu, Harazul Azliana Harun, 42, berkata, dia terkejut kerana anaknya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini malah amat ceria sebelum ke sekolah pagi tadi.
“Ujian kehilangan anak pada 9 Syawal amat berat tetapi saya reda dengan pemergiannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
No comments:
Post a Comment