Translate

Thursday, May 19, 2022

Pelita kekabu tahan satu jam

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Buah kekabu dikenali ramai dalam pembuatan fabriks seperti bantal dan tilam, namun di Jerteh, Besut, ia turut dijadikan sebagai pelita raya.

Seorang penduduk, Mohd. Zailani Mohd. Nor, 46, berkata, pelita raya diperbuat daripada buah kekabu muda yang dahulu popular di sekitar Jerteh khususnya perkampungannya di Kampung Alor Keladi.

“Dahulu, kami akan memasang pelita raya buah kekabu di sekeliling rumah bagi mence­riakan minggu terakhir Ramadan (malam tujuh likur).

“Pokok kekabu yang tumbuh melata di kampung kami dimanfaatkan. Mengikut cerita arwah datuk saya, buah kekabu muda digunakan sebagai pelita raya oleh masyarakat setempat lebih awal daripada buluh,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui pada program pelita raya yang menarik kunjungan 18,824 orang di Kampung Budaya Terengganu di sini kelmarin.

Mohd. Zailani berkata, pembuatan pelita raya tersebut agak mudah iaitu menggunakan buah kekabu muda dan minyak diesel.

Tambah bapa kepada empat anak itu, pangkal buah kekabu akan dipotong sebelum dituang minyak diesel.

“Putik kapas di dalam buah itu akan menjadi sumbunya. Biasa­nya sebiji pelita raya buah kekabu boleh menyala lebih sejam sehingga kandungan minyak diesel kehabisan.

“Ia boleh digunakan semula dengan menuangkan tambahan minyak diesel sebagai bahan bakar,” katanya.

Mohd. Zailani berkata, lazim­nya sebiji pelita raya itu boleh digunakan berulang-ulang selama seminggu sehingga ketibaan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, selain dijadikan panjut menghiasi halaman rumah menjelang raya, pelita raya buah kekabu juga merupakan jamung sebagai alternatif lampu suluh untuk pencahayaan oleh penduduk zaman dahulu.

“Pembuatan pelita raya buah kekabu dalam kalangan masyarakat di Jerteh kini sema­kin luput ditelan zaman.

“Kebanyakan generasi muda tidak mengetahui. Saya ambil inisiatif meneruskan warisan ini sekali hayat dikandung badan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment