Translate

Monday, May 30, 2022

Stok makanan negara masih belum cukup

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SEKURITI makanan adalah agenda kritikal yang perlu dita­ngani secara serius dengan impak kekurangan bekalan dan kenaikan mendadak harga bahan mentah makanan semakin dirasai sejak akhir-akhir ini.

Isu sekuriti makanan bukan sahaja dihadapi negara ini, malah masalah global yang dideritai kebanyakan negara khususnya pengimport bersih makanan se­perti Malaysia.

Pandemik Covid-19 yang mula menular sejak akhir tahun 2019 telah mengganggu rantaian bekalan barangan mentah makanan sehingga menyebabkan kenaikan kos pengangkutan.

Ia diburukkan lagi dengan peperangan antara Rusia dan Ukraine dan penyusutan nilai Ringgit sejak awal tahun ini.

Malaysia sebagai pengimport bersih makanan amat terdedah kepada sebarang kejutan global berkaitan rantaian bekalan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengakui masalah global terbabit memberi kesan terhadap pengguna tempatan.

Beliau berkata, harga bara­ngan keperluan telah meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus, namun kerajaan sentiasa mencari solusi terbaik untuk mengurangkan impaknya.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diberi tanggungjawab mengetuai Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol).

“Jawatankuasa Sekuriti Makanan yang kembali diaktifkan pula diterajui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, kedua-dua kementerian berganding bahu bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus dan harganya pula berpatutan.

Katanya, beberapa langkah segera telah diambil kerajaan seperti menghapuskan permit import (AP) makanan dan menghentikan eksport ayam bagi menjamin sekuriti makanan rakyat.

Mengulas isu itu, Ketua Program Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Moha­mad Khairi Mohd. Zainol berkata, konflik makanan ketika ini didorong oleh kekurangan bekalan, pe­ningkatan kos pengangkutan, makanan ternakan dan pengelua­ran serta permintaan tinggi luar jangkaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT itu berkata, langkah kerajaan dalam menangani kemelut amat dihargai, namun masih banyak perlu dilakukan bagi menjamin kelangsungan sekuriti makanan negara ini pada masa depan.

“Malaysia belum mencapai tahap kecukupan kendiri untuk makanan asas rakyatnya dan ini sedikit sebanyak membuka ruang manipulasi oleh pengeluar.

“Rancangan jangka panjang yang jitu perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan bahan mentah dengan negara pengimport,” katanya.

Ujarnya, pengurangan kebergantungan itu perlu dilaksanakan secara tersusun dan berterusan menerusi penglibatan kerajaan, korporat dan rakyat.

“Kerajaan juga perlu lebih agresif membangunkan bidang teknologi makanan agar dapat meningkatkan daya saing menjamin sekuriti makanan nasional.

“Teknologi terkini dalam penghasilan, penyimpanan dan pemprosesan makanan perlu dioptimumkan.

“Keberkesanan kajian berasaskan sekuriti makanan perlu diperingkatkan bagi memudahkan teknologi ini direalisasikan,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment