Translate

Wednesday, May 18, 2022

Kerap buat panggilan video sebelum dijemput ajal

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Keluarga Asmah Zakaria tidak me­nyangka perilaku peniaga pakaian itu yang kerap menghubungi mereka menerusi panggilan vi­deo hampir setiap hari sepanjang bulan Ramadan lalu merupakan petanda pemergiannya.

Asmah, 45, bersama anak bongsunya, Muhammad Aidil Fitri Osman, 5, terkorban dalam kemalangan di Kilometer 85, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Alor Serdang, Setiu pada hari raya kedua, Selasa lalu.

Adik mangsa, Nurul Husna, 30, berkata, kakaknya itu yang me­netap di Kangar, Perlis kerap menghubungi mereka di Kampung Banggol Pauh, Kuala Nerus pada bulan Ramadan lalu.

“Kakak (Asmah) memberitahu, dia tidak puas kalau sekadar mendengar suara kami, sebaliknya mahu melihat wajah kami untuk melepaskan kerinduan.

“Dia juga sempat mengirim baju raya kepada ibu dan kami semua adik-beradik,” katanya di sini semalam.

Nurul Husna memberitahu, jenazah Muhammad Aidil Fitri yang meninggal dunia pada Selasa lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Pauh di sini selepas solat isyak pada hari sama kejadian.

Jenazah Asmah yang menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pukul 12.45 tengah hari kelmarin pula selamat disemadikan di tanah perkuburan sama selepas solat asar, hari yang sama.


“Apa pun syukur keadaan anak kelima kakak saya (Muhammad Rafifuddin, 12,) yang dilaporkan kritikal sebelum ini sudah sedar pagi tadi (semalam).

“Abang ipar saya (Osman Intan, 51,) dan empat lagi anaknya pula dirawat di HSNZ dan kea­daan mereka dilaporkan stabil,” ujarnya.

Kosmo! Online Selasa lalu melaporkan, van jenis Toyota Hiace yang dipandu Asmah terlibat kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang beraya di Kampung Banggol Pauh, Kuala Nerus.

Muhammad Aidil Fitri disahkan meninggal dunia sewaktu dirawat di Unit Kecemasan Hospital Setiu pukul 8.30 pagi.

Asmah, suami dan lima anak mereka yang berusia antara 12 hingga 20 tahun kemudiannya dirujuk ke HSNZ sebelum wanita itu disahkan meninggal dunia kira-kira 14 jam kemudian. -KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment