KUALA NERUS – Kerjasama politik antara UMNO dan Pas menerusi Muakafat Nasional (MN) sukar untuk diteruskan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkembangan semasa menyebabkan gagasan parti politik Melayu dan Islam tanah air tersebut sukar untuk dipertahankan.
“Mula-mula kita memang sangat mengalukan MN tetapi nampaknya muktahir ini menghadapi kesukaran untuk mengamalkan konsep ini.
“Pada peringkat asal tidak boleh agaknya (MN diselamatkan),” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Begitupun, Najib mengakui konsep MN masih lagi mendapat dokongan kuat di peringkat akar umbi termasuk dalam kalangan pemimpin tempatan.
Jelas beliau, berdasarkan pemerhatian, penyokong UMNO dan Pas di peringkat akar umbi kini begitu selesa dengan MN.
“Sehubungan itu, saya berharap semangat permuafatan ini tidak akan padam dalam bentuk lain walaupun tidak di peringkat nasional.
“Kita boleh kerjasama dalam konteks lain asalkan mendatangkan manfaat kepada Islam, ummah dan negara keseluruhannya,” katanya.
Kosmo! pada 21 Mei lalu melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan MN menerusi kerjasama parti itu dengan Pas diibaratkan hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. -KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment