Translate

Wednesday, May 18, 2022

Duda didakwa mengedar, menagih dadah

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang duda berhadapan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan atas tiga pertuduhan mengedar dan menagih dadah pada minggu lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh, Aziz Said, 55, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine masing-masing seberat 13,199.52 gram dan 555.20 gram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Yaacob, Bukit Payong di sini pada pukul 12.50 tengah malam, 18 April lalu.

Aziz didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Aziz didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badan sewaktu pemeriksaan di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini pada pukul 4 pagi, 18 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan perintah pengawasan antara dua hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Kosmo! 21 April lalu melaporkan seorang lelaki yang dipercayai antara pengedar dadah terbesar daerah ini akhirnya masuk dalam perangkap polis. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment