Translate

Thursday, May 26, 2022

Pas kekal pertahan MN, bersama PN

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Walaupun Muafakat Nasional (MN) disifatkan pimpinan UMNO sebagai tinggal nyawa-nyawa ikan, Pas tetap dengan pendirian untuk mempertahankan piagam berkenaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian parti itu masih sama iaitu kekal bersama MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, Pas akan berusaha mempertahankan prinsip penyatuan ummah yang dimenterai bersama UMNO menerusi MN di samping mengekalkan gabungan parti politik dalam PN.

“Agenda perpaduan ummah merupakan agenda terbesar yang akan kekal dipertahankan.

“Kita yakin akan menang (dalam PRU15) dengan mempertahankan PN dan masih kekal bersama MN,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Terengganu di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, keyakinannya itu berdasarkan prestasi pada tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor yang menyaksikan undi PN meningkat lebih 100 peratus.

Kosmo! 21 Mei lalu melaporkan UMNO menyifatkan Muafakat Nasional (MN) menerusi kerjasama parti itu dengan Pas diibaratkan hanya tinggal nyawa-nyawa ikan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, soal masa depan MN sewajarnya dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment