Oleh MOHD AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
KUALA TERENGGANU – Menjelang detik pengharaman penjualan telur penyu secara terbuka di Terengganu mulai 1 Jun ini, sambutan terhadap makanan eksotik itu masih tinggi.
Berdasarkan maklum balas peniaga Pasar Besar Kedai Payang di sini, telur penyu laris bagaikan pisang goreng pada bulan terakhir penjualannya.
Dianggarkan lebih 10,000 biji telur penyu telah terjual sepanjang bulan Mei ini dengan kebanyakan pelanggannya dalam kalangan penduduk tempatan.
Salah seorang peniaga, Norshila Shukri, 58, berkata, permintaan terhadap telur penyu mentah mahu pun jeruk tidak pernah menurun walaupun rata-rata mengetahui pengharaman penjualannya akan dibuat tidak lama lagi.
“Saya mampu menjual sehingga 200 biji telur penyu setiap hari sepanjang bulan ini. Kebanyakannya dari spesies agar yang didapati daripada pembekal tempatan.
“Jualan akan meningkat pada hujung minggu kerana terdapat permintaan daripada pelancong yang mahu mencuba,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan pindaan Enakmen Penyu 1951 dengan mengenakan hukuman lebih berat iaitu denda antara RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini bagi kesalahan berkaitan penyu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu November tahun lalu.
Terengganu merupakan negeri terakhir di negara ini yang mengharamkan penjualan telur penyu.
Norshila mengakui, penjualan telur penyu menjanjikan pendapatan lumayan, namun dia akur dengan ketetapan diputuskan kerajaan negeri.
Seorang lagi peniaga telur penyu, Hayati Mad Zain, 54, memberi jaminan penjualan makanan esotik tersebut akan dihentikan serta-merta mulai 1 Jun ini.
Katanya, permintaan tinggi bukanlah alasan dia dan rakan-rakan peniaga lain untuk terus berniaga telur penyu biar pun secara curi-curi kerana hukumannya sangat berat.
“Denda antara RM50,000 sehingga RM250,000 atas kesalahan menjual telur penyu sangat besar dan di luar kemampuan kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment