Translate

Friday, May 20, 2022

Bapa tunggal dapat duit khairat kematian YGMB milik isteri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang bapa tunggal tidak menyangka tindakan arwah isterinya menyertai skim khairat kematian anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) membolehkannya menerima sumbangan sebanyak RM27,000.

Othman Mohamad, 50, berkata, duit itu hadir ketika dia sedang buntu memikirkan wang bagi membiayai kehidupan dan pelajaran tiga anaknya ketika ini.

Katanya, sumbangan itu sangat besar ertinya selepas kehilangan isterinya, Norliza Hasan@Alias yang merupakan guru Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin akibat kanser paru-paru pada 3 November tahun lalu.

“Duit itu akan digunakan untuk keperluan pendidikan tiga anak berusia sembilan hingga 16 tahun.

“Arwah memang pernah bercerita kebaikan YGMB ini kepada golongan pendidik. Alhamdulillah, kebajikan anak-anak arwah juga mendapat perhatian daripada YGMB,” katanya ketika ditemui di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu yang baharu, Abdul Muie Ngah dan di saksikan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Ahli Pemegang Amanah YGMB, Zainuddin Muda.

Sementara itu, Abdul Muie menggalakkan lebih ramai guru di Terengganu menyertai YGMB bagi membela nasib waris terutama anak-anak yang ditinggalkan setelah berlakunya kematian.

“Sejak akhir-akhir ini, banyak penyakit yang berlaku dan golongan guru tidak terkecuali dari risiko penyakit berbahaya seperti kanser,” katanya.

Sementara itu, Wan Munadi berkata, pihaknya telah menyampaikan sumbangan hampir RM25 juta kepada warga pendidik di seluruh negara sejak YGMB ditubuhkan pada tahun 1994.

“Setakat ini, kita mempunyai 110,000 keahlian berdaftar terdiri daripada guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dan pegawai Kementerian Pendidikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment