Translate

Saturday, May 28, 2022

Kelewatan skim pembiayaan usahawan IKS terjejas banjir ditegur

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kelewatan pengagihan skim pembiayaan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas banjir oleh SME Corp dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) mendapat teguran kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, berdasarkan maklum balas, kesemua lebih 200 pemohon dalam kalangan pengusaha IKS terjejas masih belum menerima pinjaman masing-masing walaupun musibah banjir sudah lama berakhir.

Beliau berkata, kelewatan pembayaran pinjaman oleh MIDF disebabkan isu perjanjian yang masih belum selesai walaupun permohonan perbiayaan itu sudah lama diluluskan SME Corps.

“Sebelum ini, saya telah pesan agar syarat-syarat pinjaman dipermudahkan kerana ia bertujuan membantu usahawan (IKS) yang kecemasan (akibat banjir).

“Tidak bolehlah prosedur normal. Begitupun, saya mendapati syarat ditetapkan masih sama sehingga menyebabkan kelewatan,” katanya selepas menyampaikan Geran Bantuan Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan dana skim pembiayaan berjumlah keseluruhan RM100 juta bagi membantu usahawan IKS yang terjejas banjir.

Pembiayaan itu merupakan pinjaman mudah tanpa faedah dan ansurans bulanan hanya perlu dibayar oleh usahawan IKS terlibat selepas tempoh setahun. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment