Translate

Saturday, May 21, 2022

Empat daerah Terengganu berisiko gangguan air musim raya

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penggunaan bekalan air di Terengganu dijangka bakal meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada awal bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (Satu), Abdul Karim Endut berkata, senario itu dikhuatiri boleh menyebabkan gangguan bekalan air terutama di empat daerah kritikal iaitu Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

“Berlaku kenaikan penggunaan air pada bulan Ramadan dan dijangka akan meningkat lagi pada Hari Raya Aidilfitri ini berikutan kepulangan beramai-ramai perantau,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar Terengganu Inc. di sini malam tadi.

Abdul Karim berkata, Satu telah mengenalpasti 86 lokasi di empat daerah iaitu Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut yang berisiko mengalami gangguan bekalan air pada musim perayaan ini.

Sehubungan itu, beliau memberitahu Satu telah melaksanakan pelan kontingensi bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air kritikal di kesemua lokasi berkenaan terutama dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Kita telah melaksanakan agihan bekalan air berjadual iaitu menutup bekalan air dari pukul 12 tengah malam hingga 4.30 pagi di rumah pengguna terlibat di empat daerah berkenaan.

“Satu juga akan meletakkan tangki statik bagi membolehkan pengguna di setiap 86 lokasi berisiko tetap menerima bekalan air sekiranya berlaku gangguan.

“Enam lori tangki juga telah bersiap sedia untuk menghantar bekalan air di lokasi yang akan terlibat dengan gangguan kelak,” katanya.-KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment