Translate

Tuesday, May 24, 2022

Kos ECRL tidak terjejas dengan kenaikan bahan binaan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kenaikan harga bahan pembinaan berikutan kelemahan nilai ringgit pada masa ini tidak memberi kesan signifikan terhadap kos pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pembinaan Infra, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Noor Azlan Salleh berkata, projek mega itu masih berjalan dengan lancar mengikut peruntukan sedia ada iaitu RM50.27 bilion.

Beliau berkata, sebagai projek berskala besar, kenaikan kos bahan pembinaan terbabit tidak memberi kesan besar terhadap ECRL.

“Kebanyakan bahan pembinaan diperoleh dalam kuantiti besar selain kesemua bahan pembinaan digunakan untuk projek ini diperoleh dari sumber tempatan kecuali sedikit besi keluli,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nor Azlan berkata, dua lagi terowong di sepanjang jajaran ECRL dijangka siap pada penghujung bulan Ogos depan.

Jelas beliau, dua terowong itu terletak di Bukit Galing, Kuantan dan Kampung Belimbing, Pekan, Pahang.

“Kedua-dua terowong berkenaan disasar siap ditembus pada akhir bulan Ogos ini. Sebelum ini, kita telah berjaya menyiapkan enam terowong di sepanjang jajaran ECRL.

“Dua terowong itu terletak di Terengganu manakala empat pula di Pahang iaitu jajaran Seksyen B,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment