Translate

Monday, May 23, 2022

KKM sedia hadapi peningkatan Covid-19 musim Aidilfitri

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan akan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada awal bulan depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, risiko jangkitan Covid-19 akan meningkat berikutan pergaulan secara meluas ramai pihak sewaktu menyambut perayaan tersebut.

“Ini raya (Aidilfitri) pertama kita boleh rentas negeri dalam tempoh dua tahun. Dulu mungkin seorang dua balik (dengan kebenaran) tetapi kini semua akan balik serentak.

“Mereka sudah pasti tidak akan pakai pelitup muka di rumah, jadi risiko jangkitan (Covid-19) tinggi,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Khairy Jamaluddin memberi jaminan KKM sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu dan berkemampuan memberi rawatan sebaiknya kepada individu yang bakal dijangkiti Covid-19 kelak.

Begitu pun, beliau memberitahu Covid-19 masih lagi memberi mudarat serius kepada golongan warga emas terutama mereka yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi, diabetes dan alahan sistem imuniti.

“Saya merayu mereka agar segera mendapatkan dos penggalak bagi melindungi diri. Mungkin sebelum ini, mereka beri alasan tidak mahu ambil kerana tidak pergi ke mana-mana tetapi raya (Aidilfitri) ini anak (mereka) akan balik.

“Setakat ini, kadar pengambilan dos penggalak dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas di negara ini mencecah 77 peratus dan sebolehnya kita mahu ia meningkat kepada 90 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment