KUALA TERENGGANU - Makanan tradisi dan kepercayaan khasiat boleh mengubati penyakit menjadi alasan segelintir penduduk Terengganu, terutama generasi lama begitu menggemari telur penyu.
Selain dinikmati secara turun-menurun, segelintir percaya amalan makan telur penyu boleh meningkatkan tenaga batin, mengubati penyakit lutut dan asma walaupun ia tidak pernah dibuktikan secara saintifik.
Salah seorang peminat tegar telur penyu yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 52, memberitahu, dia meminati telur penyu sejak kecil.
“Sewaktu kecil, saya sering mengikut arwah ayah mengutip telur penyu di sekitar pesisir pantai di Kemaman.
“Masa itu, penyu spesies belimbing masih banyak dan telurnya jauh lebih besar berbanding spesies agar. Sebaik dikutip, sebahagian kami akan terus rebus dan makan panas-panas,” katanya.
Khairul mendakwa, telur penyu sangat sedap dengan rasa berlemak walaupun teskturnya seperti telur ayam separuh masak.
Dakwanya, kelazatan telur penyu semakin bertambah jika dimakan segar sebaik dikutip di dalam timbunan pasir pantai.
Seorang lagi penggemar telur penyu dikenali sebagai Rahimah, 65, pula mendakwa, dia mengamalkan makan telur penyu untuk mengubati penyakit lututnya.
“Sakit lutut saya kurang selepas kerap makan telur penyu. Itu petua orang lama-lama.
“Tidak tahu hendak dapat di mana bekalan telur penyu selepas ini setelah kerajaan (negeri Terengganu) mengharamkan sepenuhnya penjualan secara terbuka pada 1 Jun ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment