Oleh MOHD AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Seorang ahli kimia sebuah syarikat pemeriksaan dan pengujian berkaitan produk petroleum dan gas maut setelah motosikal berkuasa tinggi terbabas di Kilometer 411.2, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Rahmat Syuhaili Ab. Rashid, 48, meninggal dunia akibat cedera parah di dada.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, Rahmat Syuhaili dalam perjalanan ke tempat kerja di Paka, Dungun dari Kota Bharu, Kelantan.
“Difahamkan mangsa bergerak dari Kota Bharu dengan menunggang Kawasaki EX250 pada pukul 5.30 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian iaitu susur masuk Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil yang berselekoh, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya di sini hari ini
Mohd. Adli berkata, motosikal itu tercampak ke dalam longkang susur masuk R&R tersebut.
Tambah beliau, mayat mangsa dijumpai pengguna lebuh raya pada pukul 8.10 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment