KUALA TERENGGANU – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan dakwaan kononnya wujudnya gerak kerja didalangi Perikatan Nasional (PN) untuk melemahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau menegaskan dokumen didakwa minit mesyuarat PN dihadirinya dan beberapa pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lain yang tular sejak Ahad lalu adalah palsu.
“Tidak benar. Dokumen sampah macam itu pun ada orang percaya, buat saya gelak sahaja.
“Pertemuan (beliau dan pemimpin PN) memang ada tetapi dalam kapasiti berbeza. Dia (penyebar) tahu ada pertemuan maka dibuat naratif begitu, tidak ada kerja lain,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, tular dokumen kononnya beberapa keratan minit mesyuarat yang mencatat gerak kerja agenda PN untuk melemahkan UMNO dan BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Gerak kerja itu kononnya menyasarkan presiden dan timbalan presiden UMNO serta bekas Perdana Menteri keenam.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu itu enggan untuk melayan tohmahan tersebut. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment