Translate

Sunday, May 22, 2022

Borong songket raya RM50,000

KOTA BHARU – Sebuah butik samping songket eksklusif di Kampung Penambang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini menerima tempahan memberangsangkan bagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini sejak Januari lalu.

Pemilik Butik Haji Idris Omar, Asmah Abdul Akhbar, 62, berkata, setakat ini, sebanyak 250 helai samping sudah terjual di butik­nya dan paling laris ialah samping eksklusif tabur yang dijual pada harga RM1,000 hingga RM3,000 sehelai.

Katanya, jualan samping di premisnya meningkat hampir 50 peratus berbanding tahun lalu ketika negara masih berada pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Paling menarik, ada seorang pelanggan datang membeli 10 helai samping berharga RM5,000 setiap satu baru-baru ini.

“Jumlah itu sudah cukup ba­nyak kerana ia melibatkan hanya seorang pelanggan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, meskipun tidak menerima tempahan sehelai samping bernilai puluhan ribu ringgit pada tahun ini, dia tetap bersyukur apabila samping berharga RM3,000 hingga RM5,000 di premisnya amat laris ketika ini.

Ujar Asmah, pada tahun lalu, dia mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan tempahan sehelai kain samping bernilai RM70,000 yang ditempah oleh seorang ahli perniagaan.

“Pada tahun ini, tiada lagi tempahan kain samping semahal itu, namun ramai pelanggan yang datang dari luar Kelantan ke butik saya ketika ini.

“Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada orang kenamaan yang mahu menggayakan samping eksklusif untuk ­majlis-majlis rasmi,” katanya.


Sementara itu, di Kuala Terengganu, pengusaha sam­ping songket terkemuka Terengganu, Wan Manang Wan Awang, 68, berkata, beliau dan pekerja-pekerjanya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

“Peningkatan jualan samping songket mula ketara bermula akhir bulan Januari lalu.

“Berdasarkan maklum balas pelanggan, mereka mahu bergaya pada Aidilfitri nanti.

“Senario ini jauh berbeza sewaktu kita beraya semasa pelaksanaan PKP pada 2020 dan 2021. Pada ketika itu, jualan sangat sedikit,” katanya ketika ditemui di bengkel tenunannya di Durian Burung di sini baru-baru ini.

Wan Manang berkata, permintaan paling tinggi terhadap samping songket bercorak tradisional dan kontemporari yang berharga antara RM600 hingga RM1,000.

Ujarnya, sam­ping songket tradisional dan kontemporari itu ditenun bermotifkan ­abstrak, geo­metri dan bunga, selain gabungan tenunan benang emas, perak serta berwarna-warni.

“Samping songket limar yang lebih mahal berharga puluhan ribu ringgit pula dicari golongan lebih berkemampuan termasuk kerabat di raja dan orang kenamaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha samping songket, Wan Mohd. Shukri Wan Awang, 55, berkata, beliau turut menerima pembelian secara online.

“Pembelian secara online juga meningkat sejak awal tahun ini sebagai persediaan untuk me­nyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan ­­Kosmo! di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur mendapati, samping songket antara jualan terlaris yang dicari-cari oleh kaum lelaki bagi dipadankan bersama baju Melayu.

Peniaga samping songket, Nur Azura, 32, berkata, hasil jualan perniagaan samping songket pada tahun ini jauh lebih untung berbanding dua tahun sebe­lumnya.

“Pada ketika itu negara masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) ekoran PKP bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

No comments:

Post a Comment