Translate

Friday, May 20, 2022

Bayi enam bulan maut, ibu cedera parah kemalangan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut manakala ibunya cedera parah selepas kereta Proton Saga FLX dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan melibatkan dua lagi kenderaan di Kilometer 75, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Air Sejuk di sini semalam.

Mangsa, Mohammad Qais Rizqi Shafiee meninggal dunia sewaktu sedang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini.

Kejadian pada pukul 4 petang itu juga turut menyebabkan ibunya, Nurul Ain Zulkarnain, 29, patah paha kiri.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, dua beranak itu bersama tiga ahli keluarga lain dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Rantau Panjang, Kelantan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Saga FLX dipandu suami Nurul Ain iaitu Muhammad Shafiee Ismail, 29, yang merupakan kerani bank dikatakan dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna, Toyota Unser.

“Kenderaan Toyota Ulser yang dipandu seorang lelaki yang juga peniaga kuih berusia 49 tahun dikatakan telah hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan yang sedang dilalui kereta dinaiki mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Afandi berkata, motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangi seorang wanita berusia 54 tahun yang berada di belakang kenderaan Toyota Unser juga gagal mengelak lalu bergesel dengan kereta Proton Saga FLX. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment