Translate

Friday, May 20, 2022

7 tahun penantian, 709 bekas pekerja Perwaja Steel terima pampasan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Penantian hampir tujuh tahun buat 709 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn. Bhd. (Perwaja Steel) yang diberhentikan kerja akibat penutupan syarikat berakhir apabila mereka menerima pampasan hari ini.

Mereka yang berusia dalam lingkungan 29 hingga 63 tahun masing-masing bakal menerima pampasan pemberhentian kerja antara RM3,000 hingga RM29,000 melibatkan jumlah keseluruhan RM8.645 juta.

Salah seorang penerima, A. Ghani. Ismail, 62, bersyukur perjuangan dan rakan-rakannya menuntut hak akhirnya membuahkan hasil.

Bekas penyelia stor itu berkata, sebahagian rakan sekerja yang dibuang kerja akibat penutupan kilang Perwaja Steel pada tahun 2014 sudah meninggal dunia.

“Walaupun ramai kata kami tidak akan dapat apa-apa pampasan tetapi saya tetap yakin. Alhamdulillah doa termakbul hari ini.

“Saya rancang menggunakan sebahagian daripada pampasan berjumlah RM20,000 untuk menunaikan umrah di tanah suci sebagai tanda kesyukuran.

“Saya kini berkhidmat sebagai Imam Masjid Kampung Paya Berenjut di sini selepas diberhentikan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian pampasan tersebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Perwaja Steel yang merupakan antara kilang besi keluli terbesar di negara ini yang terpaksa ditutup akibat masalah kewangan pada November 2014. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment