Translate

Monday, May 30, 2022

LKM percuma untuk kenderaan diubah suai jadi surau

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara rasmi memberi kebenaran penggunaan rumah ibadat bergerak yang diubah suai daripada kenderaan lain seperti bas sekolah dan kilang. 

Ketua JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, perkhidmatan rumah ibadat bergerak itu akan dilesenkan di bawah kod bas perkhidmatan bergerak selain diberi insentif Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan percuma.

Beliau berkata, setakat ini, sebuah surau bergerak yang diubahsuai daripada bas sekolah milikPersatuan Peniaga Trak Makanan  Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbrigde telah menerima kebenaran tersebut.

“Surau bergerak ini diletakkan di lokasi tumpuan ramai yang tiada rumah ibadat bagi memberi kemudahan masyarakat beragama Islam mengerjakan sembahyang lima waktu.

“Ini usaha fardu kifayah JPJ dan negeri-negeri juga disyorkan mengambil langkah sama. Saya pernah tengok perkhidmatan sama di Jepun,” katanya ketika ditemui dalam majlis Hari Raya Aidilfitri di JPJ Terengganu di sini semalam.

Terdahulu beliau menyerahkan LKM kepada pemilik surau bergerak terbabit iaitu Yusuf Hadi Al-Hafiz Sapai yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga Trak Makanan Drawbrigde.

Zailani berkata, sebelum kebenaran diberikan, kenderaan yang diubah suai sebagai rumah ibadat bergerak itu perlu menjalani pemeriksaan dengan Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ.

Jelas beliau, kelulusan hanya akan diberikan kepada rumah ibadah bergerak yang memenuhi spesifikasi kejuruteraan automobil ditetapkan JPJ.

“Kelonggaran pengubahsuaian kenderaan untuk dijadikan rumah ibadah bergerak ini bukan sahaja dibenarkan untuk kegunaan penganut Islam, malah untuk agama-agama lain juga.

“Ia sesuai diletakkan di kawasan tumpuan ramai seperti stadium bola, pesta dan lain-lain,"katanya.


No comments:

Post a Comment