Translate

Tuesday, May 24, 2022

Pengedar tegar diberkas, dadah hampir RM500,000 dirampas

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang mekanik yang dipercayai antara pengedar dadah terbesar daerah ini berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Yaakob di sini pada Isnin lalu.

Serbuan tersebut berjaya menemukan dadah dipercayai dadah jenis pil yaba dan syabu bernilai keseluruhan RM495,760 yang merupakan rampasan dadah terbesar di Terengganu pada tahun ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris berkata, serbuan di premis yang disyaki dijadikan pusat pemprosesan dadah tersebut dilakukan berdasarkan intipan dan risikan dilakukan selama lapan bulan.

“Pemeriksaan menjumpai pil berwarna merah dan hijau disyaki dadah jenis yaba di ruang tamu rumah berkenaan.

“Kita juga berjaya merampas beberapa bungkusan serbuk dan ketulan kristal jernih dan keperangan dipercayai dadah jenis syabu yang mempunyai keseluruhan 13,199.52 gram di beberapa lokasi di dalam rumah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, pemeriksaan juga mendapati premis terbabit dilengkapi empat televisyen litar tertutup (CCTV) dipercayai bertujuan memantau kehadiran pihak berkuasa.

Tambah beliau, kesemua dadah yang dirampas itu cukup untuk kegunaan kira-kira 20,000 penagih dadah. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment