Translate

Saturday, May 28, 2022

Pelancong asing mula banjiri pulau Terengganu

KUALA TERENGGANU – Rangkaian pulau-pulau peranginan terkenal di Terengganu akan kembali meriah mulai awal bulan depan dengan kehadiran semula puluhan ribu pelancong asing terutama dari Eropah dan Asia Timur.

Perkembangan itu sangat mengujakan pengusaha resort di pulau peranginan tersebut terutama Pulau Perhentian, Besut dan Pulau Redang, Kuala Nerus setelah dua tahun sepi tanpa kunjungan pelancong antarabangsa ekoran pandemik Co­vid-19.

Pengurus Operasi Pelangi Redang Resort, Foo Ee Lin berkata, pihaknya mula menerima tempahan daripada ramai pelancong asing bermula awal bulan ini.

“Pengumuman peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 Mei lalu telah menarik minat dan keyakinan pelancong asing untuk kembali berkunjung ke Pulau Redang.

“Secara kebetulan, nilai Ringgit yang rendah sejak akhir-akhir ini telah memberi kelebihan kepada sebahagian pelancong luar negara kerana kuasa beli mereka semakin tinggi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ee Lin berkata, mereka sangat teruja apabila mula menerima tempahan penginapan daripada pelancong Eropah terutama dari Jerman, Itali dan Slovakia selain China.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas, waktu puncak kehadiran pelancong asing itu khususnya dari Eropah pada Julai ini.

“Mereka akan mengambil peluang bercuti musim panas sepanjang Jun hingga Ogos ini seperti dilakukan sebelum penularan Covid-19.

“Pulau-pulau peranginan Terengganu termasuk Pulau Redang pasti dirindui pelancong ­asing setelah dua tahun sempadan antarabangsa ditutup,” ujarnya.

Seorang pengusaha resort di Pulau Perhentian, Mohd. Sabri Hamdan pula menjangkakan pulau-pulau peranginan Terengganu akan didominasi pengunjung asing sehingga Ogos depan.

Jelas pemilik Crocodile Rock Villas dan Bistro itu, kunjungan pelancong domestik yang memenuhi pulau peranginan Terengganu sejak musim perayaan Aidilfitri pula akan berkurangan selepas ini.

“Kenaikan kos sara hidup mungkin memberi kesan kepada pengunjung tempatan, tetapi sebaliknya kuasa beli pelancong luar negara pula meningkat.

“Pengusaha resort di pulau-pulau peranginan Terengganu telah membuat persiapan untuk menyambut kehadiran pelancong asing terbabit,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment