Translate

Thursday, May 19, 2022

Maklum polis sebelum pulang beraya ke kampung

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Orang ramai yang hendak meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung untuk berhari raya digalakkan memaklumkannya di balai polis berdekatan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, individu terlibat boleh mengisi borang yang disediakan di setiap balai polis.

“Suka saya ingatkan semula tentang perkara ini kerana mungkin ramai sudah lupa kerana sudah dua tahun kita tidak boleh pulang beraya ke kampung (kerana tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri).

“Makluman itu memudahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur rondaan cegah jenayah di taman perumahan terlibat,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini malam tadi.

Rohaimi berkata, anggota polis terlibat akan mengadakan rondaan di kediaman penduduk yang pulang beraya berkenaan bagi mengurangkan risiko kejadian jenayah seperti pecah rumah semasa musim perayaan.

Jelas beliau, tumpuan akan diberikan kepada taman perumahan yang lebih 50 peratus penduduknya pulang beraya.

“Selain itu, kita akan memberi perhatian lebih kepada lokasi tumpuan ramai seperti Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu untuk rondaan cegah jenayah dan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment