Translate

Saturday, May 21, 2022

Bubur lambuk ikonik Terengganu tarik perhatian

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

RAMAI yang mengatakan, rasa bubur lambuk semuanya sama walau di mana sahaja ia dibuat, tetapi hakikatnya ia berbeza mengikut tempat ia dihasilkan.

Begitu juga dengan bubur lambuk istimewa versi Terengganu yang dinamakan bubur lambuk Sejid Putih begitu menggamit penggemarnya. 

Mana tidaknya, di dalam bubur tersebut turut dimasukkan isi ikan dan pelbagai sayuran yang membuatkannya istimewa. 

Walaupun bubur lambuk Terengganu itu boleh juga didapati di bazar-bazar Ramadan, versi Masjid Abidin atau juga dikenali sebagai Masjid Putih paling digemari ramai.

 Pengurusan masjid  itu tidak pernah gagal mengedar bubur lambuk secara percuma kecuali pada tahun 2020 disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak lengkap juadah berbuka puasa Zainol Abu Bakar, 38, tanpa bubur lambuk ‘Sejid Putih’ (Masjid Putih).Boleh dikatakan setiap hari sepanjang bulan Ramadan tahun ini, dia sanggup beratur panjang seawal pukul 2.30 petang untuk mengambil sebekas bubur lambuk yang diedarkan secara percuma di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

Zainol yang berasal dari Teluk Intan, Perak berkata, dia mula mengenali bubur lambuk ‘Sejid Putih’ itu apabila mengahwini isteri sekali gus bermastautin di ibu negeri Terengganu tersebut pada kira-kira 10 tahun lalu.

“Bubur lambuk ‘Sejid Putih’ merupakan bubur lambuk versi Terengganu yang berbeza dengan tempat lain kerana mengandungi isi ikan dan pelbagai sayuran.

“Rasanya sangat unik membuat saya tidak sabar menunggu ketibaan bulan Ramadan bagi merasai keenakannya,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.

Zainol berkata, walaupun bubur lambuk Terengganu itu boleh juga didapati di bazar-bazar Ramadan, versi Masjid Abidin atau juga dikenali sebagai Masjid Putih paling digemarinya.

Lelaki yang menetap di Hiliran, Kuala Terengganu itu berkata, sebekas bubur lambuk ‘Sejid Putih’ akan dikongsi bersama isteri dan tiga anaknya untuk berbuka puasa, di samping juadah lain.


Sementara itu, Penolong Eksekutif Masjid Abidin, Mohd. Azrul Hafiz Alias berkata, pengagihan bubur lambuk secara percuma merupakan tradisi Masjid Negeri Terengganu tersebut sejak 12 tahun lalu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenanaan, pengurusan masjid tidak pernah gagal mengedar bubur lambuk secara percuma kecuali pada tahun 2020 disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada tahun ini, kami menyediakan 600 hingga 1,000 bekas bubur lambuk ‘Sejid Putih’ setiap hari untuk diedarkan kepada orang ramai sepanjang bulan Ramadan ini.

“Pengedaran dilakukan dalam dua sesi iaitu selepas kuliah zuhur pada pukul 2.30 petang dan selepas solat asar pada pukul 4.30 petang,” ujarnya.

Mohd. Azrul Hafiz memberitahu, pengedaran bubur lambuk itu merupakan salah satu pendekatan pengurusan masjid bagi mendekatkan masyarakat dengan institusi rumah ibadat Islam terbabit.

Jelasnya, biasanya jemaah akan menunaikan solat fardu berjemaah dan mengikuti kuliah agama selepas solat zuhur dan asar, sebelum mengambil bubur lambuk berkenaan di pekarangan masjid.

Tambahnya, bubur lambuk ‘Sejid Putih’ bukan sahaja menjadi sebutan masyarakat setempat, malah dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.


Tuturnya, ramai tidak melepaskan peluang mengambil juadah berbuka puasa itu bagi merasai keenakannya termasuk pengunjung Pasar Besar Kedai Payang berdekatan.

“Oleh kerana bubur lambuk ‘Sejid Putih’ sudah menjadi juadah ikonik Terengganu pada bulan Ramadan, kami sentiasa menjaga kualitinya.
“Resipinya dijaga rapi dengan penggunaan bahan-bahan mentah yang segar dan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Nurul Amirah Che Harun yang diamanahkan sebagai tukang masak berkata, sebanyak lima periuk bubur lambuk ‘Sejid Putih’ dimasak setiap hari pada bulan Ramadan ini.

Kongsi Nurul Amirah, proses memasak juadah istimewa tersebut biasanya dibuat dari pukul 6.30 pagi sehingga 9 pagi.

“Bubur lambuk memerlukan kira-kira dua jam 45 minit untuk siap dimasak dengan setiap periuk menggunakan kira-kira enam kilogram (kg) beras.

“Beras yang digunakan sebaiknya tidak mudah hancur agar teksturnya masih dapat dirasai apabila dikunyah nanti,” katanya.

Nurul Amirah berkata, proses pembuatan bubur lambuk ‘Sejid Putih’ bermula dengan mendidihkan seperiuk air yang biasanya memakan masa kira-kira 45 minit.

Ujarnya, beras akan dimasukkan ke dalam periuk sebaik air sudah mendidih, sebelum api dapur disederhanakan.


“Beras dibiarkan masak sehingga bertukar menjadi bubur sebelum bawang merah, bawang putih dan halia yang sudah dikisar dimasukkan.

“Kita kemudiannya akan memasukkan santan kelapa dan isi ikan yang menjadi antara ramuan istimewa bubur lambuk ini,” katanya.

Nurul Amirah berkata, biasanya isi ikan selayang digunakan, namun kadangkala dia juga menggunakan ikan aye hitam sebagai alternatif.

Jelasnya, ikan terbabit akan direbus terlebih dahulu sebelum tulangnya dibuang dan dikisar halus.


“Setelah bubur dan isi ikan sudah sebati, kita akan mencampurkan sayur-sayuran seperti daun kaduk, pucuk midin, daun moringa dan pucuk ubi kayu serta ubi keledek.

“Akhir sekali, kita masukkan budu yang merupakan ramuan rahsia bubur lambuk ‘Sejid Putih’. Biasanya empat botol budu digunakan bagi seperiuk juadah tersebut,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment