Oleh MOHD. AZLI ADLAN
TERENGGANU FC (TFC) mengikut jejak kelab tersohor Jerman, Bayern Munich untuk mendedikasikan jersi nombor 12 kepada para penyokong.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Mohd. Syahrizan Mohd. Zain berkata, pihaknya telah memutuskan jersi bernombor berkenaan tidak akan digunakan oleh mana-mana pemain TFC mulai musim depan.
“Nombor tersebut akan didedikasikan khas kepada penyokong TFC yang dianggap pemain ke-12 kelab yang tidak pernah penat memberi sokongan padu kepada TFC.
“Ia juga sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap semangat, disiplin dan aura luar biasa yang diberikan penyokong tegar TFC selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu kelmarin.
Pada musim lalu, jersi nombor 12 dipakai oleh Shahrul Aizat Zulkifli yang bermain di posisi tengah.
Mohd. Syahrizan berkata, PBSNT berharap sokongan padu sama dapat diberikan oleh penyokong TFC bagi mengharungi musim baharu 2019 yang akan bermula tidak lama lagi.
TFC yang dibimbing jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Salim berazam kembali muncul sebagai salah sebuah pasukan pencabar kejuaraan Liga Super musim hadapan.
Pada musim lalu, skuad Penyu muncul naib juara Piala Malaysia, suku akhir Piala FA dan tempat kelima Liga Super.
No comments:
Post a Comment