Translate

Saturday, December 29, 2018

Pencuri lori treler ditahan

BESUT – Niat jahat dua penjenayah untuk menghantar sebuah lori treler yang disyaki dicuri kepada individu dipercayai pembeli di Tanah Merah, Kelantan tidak kesampaian apabila mereka berjaya dipintas sepa­sukan polis di Kampung Oh, Jerteh di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, pemandu lori treler yang berusia 40-an tersebut ditahan manakala kelindannya berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superinten­dan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, lori treler yang disyaki dicuri di Bandar Jengka, Pahang pada akhir Oktober lalu itu berjaya dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru dekat pusat bandar Jertih.

“Pemandu lori treler yang disyaki dicuri itu enggan menghentikan kenderaannya apabila diarah sepasukan polis yang menaiki kereta peronda sebalik memecut laju menuju ke Kampung Oh di sini.

“Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai tayar bahagian kanan lori treler, namun suspek tetap memandunya dalam keadaan tayar pancit sebelum terbabas ke tepi jalan tidak lama kemudian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, pemandu lori itu ditahan manakala kelindannya berjaya melarikan diri daripada kepungan polis.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lori treler yang dilaporkan hilang di Bandar Jengka pada 27 Oktober lalu itu dipercayai dalam perjalanan ke Tanah Merah, Kelantan.

“Suspek yang berjaya ditangkap didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment