Translate

Tuesday, December 11, 2018

Bas Mobil JPN siapkan Mykad kurang 45 minit tahun depan

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memperluaskan perkhidmatan Bas Mobil JPN yang mampu menyiapkan Mykad dalam tempoh kurang 45 minit mulai tahun depan, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah.

“JPN kini mempunyai empat buah bas masing-masing satu di Sabah dan Sarawak serta dua di Semenanjung Malaysia yang mempunyai kelengkapan untuk memproses Mykad dan dokumen lain dengan segera.

“Perkhidmatan Bas Mobil JPN mendapat permintaan tinggi dengan jadual pelbagai program di seluruh negara telah disusun setiap minggu pada tahun hadapan. Selain ditempatkan di karvinal dan program disertai agensi ini, bas tersebut juga akan menjelajah ke kawasan pendalaman bagi meme-nuhi keperluan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Temu Mesra bersama Media yang turut dihadiri Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem di sini semalam.
Jelasnya, selain perkhidmatan Bas Mobil JPN, agensi tersebut juga melakukan program Outreach dan Mobil Ehsan untuk memudahkan program pengeluaran dokumen peribadi kepada rakyat yang menetap jauh di pedalaman, pulau terpencil dan golongan orang kelainan upaya.

“Proses memproses Mykad juga telah dipercepatkan kepada setengah jam sahaja menerusi mesin cetakan teragih dan ia meliputi 55 cawangan JPN di seluruh negara.

“Kita bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan ini kepada lebih banyak lagi cawangan JPN pada tahun hadapan mengikut kemampuan kewangan negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Razin memberitahu, ada sesetengah rakyat negara ini tidak mengambil berat pendaftaran kelahiran anak walaupun menetap di kawasan bandar besar termasuk Kuala Lumpur.

“Mereka hanya akan ke pejabat JPN apabila bermasalah mendaftarkan anak ke sekolah,” katanya.

No comments:

Post a Comment