Translate

Tuesday, December 11, 2018

KSBM dilancar dalam masa terdekat

KUALA NERUS – Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) akan dilancarkan dalam masa terdekat, sekali gus berperanan menjadi pengikat kesepakatan jati diri lebih 300 juta penuturnya dalam konteks budaya dan aspirasi bahasa.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kementeriannya akan memainkan peranan sebagai peneraju utama bagi membangunkan KSBM yang sedang dihasilkan dengan bantuan pakar bahasa institusi pendidikan tinggi (IPT) serta agensi berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

“Kerangka ini amat pen­ting bagi memastikan bahasa Melayu bersifat saintifik dan tekal serta menjadi rujukan utama dunia.

“Besar harapan kita apabila bahasa Melayu kelak menjadi salah satu bahasa rasmi pada PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya ketika merasmikan pertan­dingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2018 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Zubaidi Abd. Latiff.

Maszlee berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa kelima terbesar di dunia dengan lebih 300 juta penutur dan ia terus berkembang apabila lebih 140 IPT di 50 negara menawarkan kursus pengajian bahasa tersebut.

Tambahnya, bahasa Me­layu memiliki ciri bahasa ilmu yang relevan dengan peredaran zaman kerana bersifat fleksibel iaitu mudah untuk menerima perubahan dan nahunya yang mudah dipelajari.

No comments:

Post a Comment