Translate

Wednesday, December 5, 2018

Bekalan ikan musim tengkujuh cukup

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perikanan memberi jaminan bekalan ikan untuk permintaan tempatan masih mencukupi biarpun negeri-negeri Pantai Timur kini dilanda musim tengkujuh.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, kekurangan bekalan akibat nelayan-nelayan Pantai Timur tidak turun ke laut pada tempoh ini bakal ditampung oleh 40,000 tan ikan yang telah disejuk beku sejak bulan Mac lalu.

Katanya, persatuan nelayan negeri dan kawasan di seluruh negara telah menyimpan sebahagian stok ikan spesies pelagik seperti selayang, pelaling dan kembung secara sejuk beku sewaktu musim pengeluaran yang banyak pada bulan Mac dan April lalu.

"Stok ikan sejuk beku tersebut akan dikeluarkan untuk jualan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan sepanjang musim tengkujuh ini.

"Selain itu, kita akan mengagihkan ikan-ikan spesies pelagik ditangkap nelayan Pantai Barat yang kurang terjejas akibat musim tengkujuh bagi memenuhi permintaan di ne­geri-negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang," katanya ketika ditemui di Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) di Chendering di sini semalam.

Tambahnya, Jabatan Perikanan tidak menolak kemungkinan untuk mengimport ikan dari luar negara sekiranya penawaran domestik masih tidak mencukupi ketika musim tengkujuh yang dijangka berlarutan sehingga Februari depan.

“Harga ikan dan makanan laut berkemungkinan akan meningkat sedikit terutama melibatkan spesies premium pada musim tengkujuh ini,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment