Translate

Thursday, December 13, 2018

Dua kawasan lagi di Setiu mula dilanda banjir

MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Dua perkampungan lagi di daerah ini mula dinaiki banjir pada awal pagi tadi berikutan hujan lebat selama lebih enam jam yang berlarutan sejak semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata,  penempatan baharu yang ditenggelami bah tersebut ialah Kampung Bukit Nyior dan Kampung Langkap dekat sini.

Beliau berkata, dua perkampungan tersebut berhampiran dengan Kampung Merbau dekat sini yang telah dilanda banjir bermula pukul 7 malam semalam.

"Dua pusat pemindahan sementara baharu telah dibuka masing-masing di Surau Kampung Bukit Nyior dan Balai Raya Kampung Langkap dekat sini.

"Seramai 48 mangsa dari 15 keluarga kini ditempatkan di ketiga-tiga pusat pemindahan sementara berkenaan termasuk Masjid Kampung Merbau Menyusut dekat sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Che Adam berkata, pusat pemindahan sementara Masjid Kampung Merbau Menyusut masih menempatkan mangsa banjir teramai iaitu 40 mangsa daripada 12 keluarga.


Beliau berkata, pusat pemindahan sementara Balai Raya Kampung Langkap dan Surau Kampung Bukit Nyior pula masing-masing menempatkan lima dan tiga mangsa. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment