Translate

Wednesday, December 26, 2018

Empat pekerja TNB terkandas 15 jam di Hutan Simpan Mizan

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seramai empat pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) cemas selepas terkandas lebih 15 jam di dalam Hutan Simpan Mizan berhampiran Felda Mengkawang, Kuala Berang dekat sini hari ini.

Kesemua mangsa iaitu Nor Muslim Mohd. Dom, 51; Mohd. Amirul Ismail, 30;  Muhammad Syazwan Wahab, 30; dan Ahmad Khairi Azman Mohamed, 29, ditemui selamat dalam keadaan keletihan pada pukul 10.25 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mereka yang merupakan kakitangan Unit Perancang Kabel Wilayah Timur, Pejabat TNB Dungun memasuki kawasan hutan simpan berkenaan bagi menjalankan kerja-kerja pemeriksaan puncak menara TNB pada pukul 9.30 pagi kelmarin.

"Kerja-kerja pemeriksaan itu sepatutnya berakhir pada pukul 5 petang semalam (kelmarin) namun mereka yang masing-masing yang melakukan kerja-kerja pemeriksaan tersebut di lokasi berasingan didapati tidak keluar dari hutan berkenaan sehingga pukul 10.41 malam.


"Salah seorang mangsa menghubungi pegawai TNB bertugas memaklumkan terpaksa bermalam di dalam hutan simpan itu kerana gagal mencari jalan pulang akibat keadaan gelap sebelum kehilangan keempat-empat pekerja TNB itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment