Translate

Wednesday, December 12, 2018

Gadis China johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu

KUALA NERUS – Peserta dari China,  Xu Yang muncul sebagai johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri edisi ke-12 bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin di sini kelmarin.

Beliau yang merupakan pelajar tahun tiga jurusan bahasa Melayu Universiti Pengajian-Pengajian Bahasa Asing Guangdong, China berjaya memikat barisan juri menerusi pidato bertajuk ‘Mahasiswa Peneraju Kelangsungan Negara’.

Yang, 19, yang ayu berbusana songket berwarna jingga berkata, beliau kini menyertai program pertukaran pelajar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang sehingga bulan Februari depan dan digelar dengan nama Izzah oleh pensyarah dan rakan sekuliah di kampus institusi pengajian tinggi awam tersebut.

“Minat untuk mempelajari bahasa Melayu bercambah setelah melihat potensi besarnya menerusi polisi One Belt One Road diperkenalkan Presiden China, Xi Jinping pada tahun 2013 yang turut melibatkan Malaysia.

“Saya yang ketika itu masih di bangku sekolah bercita-cita mahu terlibat secara langsung untuk menjayakan polisi tersebut.

“ Tiga tahun diperlukan menguasai bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Selaku juara PABM bagi kategori Pelajar Antarabangsa, Yang menggondol hadiah wang tunai RM10,000, piala pusingan, plak iringan dan sijil penyertaan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Zubaidi Abd. Latiff.

Sementara itu, dalam pertandingan tersebut. Aurore Jeannot, 27, dari Perancis dan Leon Woltermann, 22, dari Jerman muncul naib johan dan tempat ketiga kategori sama.

Muhamad Syahmi Akif Jamili, 23, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan peserta Kemboja, Sajarah Mohd. Ali, 27, dari UniSZA pula dinobatkan johan PABM bagi kategori Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia.

No comments:

Post a Comment