Translate

Thursday, December 13, 2018

AirAsia tawar penerbangan khas bawa penyokong Harimau Malaya ke Hanoi

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Syarikat penerbangan tambang murah nasional AirAsia Berhad (Air Asia) bersedia untuk menawarkan penerbangan khas membawa penyokong skuad kebangsaan menyaksikan aksi akhir kedua Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Sabtu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandez berkata, penerbangan khas tersebut bertujuan memudahkan perjalanan seramai mungkin penyokong tempatan menyeramakkan semangat Harimau Malaya untuk merangkul semula Piala AFF Suzuki yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2010.

Beliau berkata, AirAsia sentiasa memberi sokongan penuh kepada Harimau Malaya dan akan bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kelab penyokong, Ultras Malaya berhubung penerbangan khas berkenaan.

"Sebelum ini, kita telah menawarkan penerbangan khas penyokong ke Bangkok (separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 menentang Thailand).

"Aksi (separuh akhir kedua) tersebut sangat mendebarkan dan saya hampir tidak percaya kita (Harimau Malaya) layak," kata ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Ceramah Eksekutif di Universiti Sultan Zainal Abidin di sini hari ini.


Fernandez berkata, AirAsia akan mengumumkan butiran lanjut berhubung penerbangan khas aksi akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi berkenaan pada masa terdekat. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment