Translate

Tuesday, December 25, 2018

Sentiasa waspada fenomena air pasang besar

HUJAN lebat yang turun dalam kuantiti banyak pada monsun Timur Laut atau musim tengkujuh sejak awal bulan lalu mula menampakkan impak­nya kepada negeri-negeri di Pantai Timur.

Kesemua lapan daerah di Terengganu kecuali Besut dan sebahagian Kuantan, Pahang telah ditenggelami banjir berskala kecil dalam tiga pe­ringkat gelombang sejak 13 Disember lalu.

Ketiga-tiga gelombang banjir itu menjejaskan hampir 2,000 penduduk di Terengganu dan Pahang yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan masing-masing buat beberapa hari sehingga bah reda.

Di Kelantan pula, walaupun setakat ini tiada PPS dibuka namun beberapa kawasan di Rantau Panjang dan Gua Musang sudah mula dinaiki air bah berikutan limpahan sungai-sungai terdekat.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat semalam, seramai 553 mangsa banjir masih berlindung di empat PPS di Terengganu.

“Gelombang ketiga banjir yang berlaku di Terengganu bermula Isnin lalu itu melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Setiu.

“Banjir kali ini berlaku di kawasan-kawasan berhampiran pesisir pantai dan ia disebabkan taburan hujan lebat dengan keamatan lebih 100 mi­limeter (mm) yang menyebabkan air naik dalam tempoh tiga jam sahaja,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Che Adam meramalkan gelombang ketiga banjir yang melanda negeri Darul Iman bakal surut tidak lama lagi jika cuaca bertambah baik dalam sehari dua ini.

Begitupun, ia bukan bermakna kita boleh menghela nafas lega kera­na musim tengkujuh masih panjang dan dijangka berlarutan sehingga Februari tahun depan.

Menurut Pengarah Bahagian Pelaksanaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Azizan Abu Taat, kebimbangan sebenar adalah apabila fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di seluruh negara pada minggu depan bermula 24 Disember ini.

Menurutnya, fenomena yang di­sebabkan kedudukan bulan hampir dengan bumi itu akan menyebabkan paras air laut naik secara mendadak sekali gus meningkatkan lagi risiko limpahan air di kawasan rendah di pesisir pantai seluruh negara.

“Bagi pantai barat, antara kawasan yang berisiko berlaku limpahan air laut akibat fenomena air pasang besar ialah Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak; Kapar, Selangor dan Melaka.

“Kami paling bimbang di pantai timur, fenomena air pasang besar bersama hujan lebat boleh menyebabkan gelombang banjir yang lebih besar,” katanya.

Azizan berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, negeri-negeri di pantai timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang akan menerima taburan hujan tinggi iaitu antara 560mm hingga 660mm sebulan sepanjang musim tengkujuh.

Jelas beliau, sebagai perbandi­ngan, tiga negeri tersebut hanya menerima antara 90mm hingga 130mm keamatan hujan pada bulan-bulan lain.

“Tambah merisaukan kita, masih banyak lagi taburan hujan yang sepatutnya diterima oleh negeri-negeri Pantai Timur itu tahun ini didapati masih belum turun.

“Baki hujan itu dijangka turun pada dua minggu terakhir tahun ini yang kebetulan serentak dengan fenomena air pasang besar,” ujar­nya.

Sehubungan itu, Azizan memberitahu, Nadma telah membuat persiapan awal mengkoordinasi aset dan 78,000 kakitangan agensi terlibat bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh tersebut.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pula menasihatkan masyarakat agar menjaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing sepanjang musim banjir.

Menurut beliau, musim tengkujuh tahun ini telah memakan korban pertama iaitu seorang guru, Abd. Rauf Mohd. Zulkarnain, 27, yang lemas ketika mandi-manda di Sungai Setiu berhampiran Kampung Buluh, Setiu, Terengganu pada 13 Disember lalu.

“Sepanjang musim tengkujuh ini, cuba elakkan aktiviti di kawasan berisiko seperti pantai, sungai, air terjun, tali air, bukit dan gunung bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

“Ibu bapa juga diingatkan agar memantau pergerakan anak-anak mereka yang masih kecil memandang sekarang merupakan cuti persekolahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment