Translate

Tuesday, December 4, 2018

Lelaki maut disyaki curi pisang dipukul guna tandan pisang, batang besi

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Perbuatan mencuri pisang dipercayai menjadi punca seorang lelaki dipukul hingga mati di sebuah rumah di Kampung Tebakang, Bukit Payung dekat Marang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 42 tahun maut selepas dipukul dengan setandan pisang dan sebatang besi oleh pekebun terlibat di pekarangan rumah seorang peraih buah-buahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, sebelum kejadian mangsa yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah disyaki telah mencuri beberapa tandan pisang di kebun yang terletak di Alor Limbat, Marang.

"Dia dan rakan lelakinya berusia 37 tahun mahu menjual tandan pisang tersebut kepada seorang peraih di Kampung Tebakang sebelum didatangi pekebun berkenaan berusia 38 tahun bersama anak saudaranya berusia 15 tahun dengan menaiki sebuah lori.

"Pekebun pisang berkenaan yang geram bertindak memukul kepala mangsa dengan setandan pisang dipercayai dicuri dan sebatang besi sebelum meninggalkannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.

Fazlisyam berkata, sewaktu kejadian, anak saudara suspek utama yang merupakan remaja keciciran persekolahan berada di dalam lori yang dinaiki mereka manakala rakan mangsa pula berjaya melarikan diri.


Kosmo! Online semalam melaporkan penemuan mayat lelaki tersebut telah menimbulkan spekulasi yang tular di media sosial kononnya dia telah dipukul hingga mati kerana mencuri pisang. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment