Translate

Tuesday, December 4, 2018

Padah jual kuih dicemari bakteria

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara menjual kuih agar-agar merah dan onde-onde yang dicemari bakteria pada Jun lalu, seorang peniaga bazar Ramadan didenda sebanyak RM900 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Noradila Ab. Latif menjatuhkan hukuman itu selepas Zunaidah Sulong, 43, yang berasal dari Tepoh, Kuala Nerus membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, agar-agar merah dan onde-onde itu merupakan sebahagian daripada kuih-muih yang dijual Zunaidah di bazar Ramadan Wakaf Tengah, Kuala Nerus pada bulan puasa pada pukul 5.30 petang, 4 Jun lalu.

Pasukan penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah telah mengambil sampel kedua-dua kuih berkenaan sebelum dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kuala Makanan Kuala Nerus untuk dianalisa.

Keputusan analisa makmal terbabit kemudiannya mendapati sampel kuih agar-agar merah dan onde-onde terbabit telah dicemari Coagulase iaitu sejenis mikroorganisme patogenik pembawa penyakit.
Zunaidah dituduh mengikut Seksyen 6(1) Akta Makanan 1983 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 39(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Kuala Nerus, Nooreen Azniewati Amaran, manakala Orang Kena Saman tidak diwa­kili peguam bela.

No comments:

Post a Comment