Translate

Saturday, December 15, 2018

Kementerian Pendidikan peneraju utama Kerangka Standard Bahasa Melayu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kementerian Pendidikan akan memainkan peranan sebagai peneraju utama bagi membangunkan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) yang bakal menjadi pengikat kesepakatan jati diri penuturnya dalam konteks budaya dan aspirasi bahasa.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, KSBM akan dihasilkan dengan bantuan pakar bahasa dan agensi berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan institusi pendidikan tinggi (IPT).

"Kerangka ini amat penting bagi memastikan bahasa Melayu bersifat saintifik dan tekal serta menjadi rujukan utama dunia.

"Besar harapan kita bahasa Melayu kelak menjadi salah satu bahasa rasmi di PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," katanya ketika merasmikan pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Zubaidi Abd. Latiff.


Maszlee berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa kelima terbesar di dunia dengan lebih 300 juta penutur dan ia terus berkembang apabila lebih 140 IPT di 50 negara menawarkan kursus pengajian bahasa tersebut. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment