Translate

Tuesday, December 18, 2018

Mayat guru lemas di Sungai Setiu ditemui

SETIU – Mayat seorang guru yang dihanyutkan arus deras Sungai Setiu berhampiran Kampung Buluh di sini pada Khamis lalu berjaya ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat dilancarkan semalam.

Mangsa, Abd. Rauf Mohd. Zulkarnain, 27, yang merupakan guru bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan Tiara Permai, Sentul, Kuala Lumpur dijumpai terapung di kawasan kunci air Kampung Buruk di sini pada pukul 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Zulkifli Mat Deris berkata,  mayat Abd. Rauf ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Operasi mencari dan menyelamat dianggotai 72 anggota pelbagai agensi dan penduduk kampung yang masuk hari ketiga telah disambung pada pukul 8.45 pagi tadi (semalam).

“Pencarian pasukan mencari dan menyelamat itu berjaya menemui mayat mangsa di kawasan kunci air Kampung Buruk di sini kira-kira satu jam setengah kemudian,” katanya kepada pembe­rita di sini semalam.
Zulkifli berkata, mayat Abd. Rauf yang merupakan korban pertama musim banjir yang melanda Terengganu sejak Rabu lalu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat.

Khamis lalu, Abd. Rauf  hilang dibawa arus deras Sungai Setiu berhampiran Kampung Buluh di sini ketika sedang leka mandi bersama seorang adiknya dan dua remaja lain.

Difahamkan, mangsa baru pulang bercuti di kampungnya di Permaisuri di sini beberapa jam sebelum kejadian.

No comments:

Post a Comment