Translate

Thursday, December 20, 2018

Stok mencukupi untuk 35,000 mangsa banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri menyediakan barangan keperluan asas dan makanan  yang mampu menampung sehingga 35,000 mangsa pada satu-satu masa sepanjang musim tengkujuh ini.

Timbalan Pengarah JKM Terengganu, Norazaman Ab. Manaf berkata, stok tersebut bukan sahaja mencukupi untuk mangsa banjir di negeri ini malah berupaya untuk disalurkan kepada negeri-negeri jiran yang turut terjejas dengan bencana itu sekiranya memerlukan.

“Kita telah membuat persediaan awal dengan menempatkan sebahagian bekalan tersebut di 27 stor bencana negeri dan 143 pangkalan hadapan yang terdapat di setiap daerah di negeri ini.

“Sebahagian bekalan yang disimpan di stor bencana negeri dan pangkalan hadapan seperti kain batik, kain pelikat, selimut, tuala, tilam dan lampin pakai buang itu telah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir gelombang pertama hingga ketiga negeri ini ­baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas me­ninjau stok barangan ke­perluan dan makanan tersebut di Depoh Simpanan JKM Terengganu di Pulau Kerengga di sini.

Norazam berkata, mengikut prosedur operasi stan­dard ditetapkan, semua keluarga mangsa banjir akan menerima barangan keperluan asas terbabit terma­suk ubat gigi, sabun mandi, syampu dan bantal sebaik sahaja mendaftar masuk ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Jelas beliau, kesemua mangsa banjir yang mendaftar masuk ke PPS juga akan diberi terus makanan sebagai alas perut.

“Sekiranya unit penyediaan makanan tidak bersedia pada hari pertama, makanan berbungkus akan disediakan kepada penghuni PPS sebelum makanan basah seperti ayam, daging dan ikan diberikan sebagai sebahagian daripada sajian pada hari kedua dan sete­rusnya.

“Pelbagai modul aktiviti juga telah disusun ter­utama kepada mangsa banjir dalam kalangan kanak-kanak bagi mengurangkan kebosanan mereka sekiranya perlu menginap di PPS lebih daripada tiga hari,” katanya.

Norazaman berkata, JKM Terengganu telah menerima peruntukan lebih RM2.96 juta daripada kerajaan negeri dan Perseku­tuan bagi pembelian bekalan keperluan asas dan makanan tersebut.

Ujar beliau, setakat ini, pihaknya hanya menggunakan RM1.77 juta dan lebihan peruntukan tersebut akan  digunakan sekiranya berlaku bencana banjir besar luar jangka.

No comments:

Post a Comment