Translate

Thursday, December 6, 2018

MAIDAM bantu Fatimah jadi pengusaha berjaya

TIDAK menang tangan Fatimah Mohd., 44, menyiapkan tempahan kek dan pastri di bengkel perusahaannya yang terletak di Tepoh, Kuala Nerus, Terengganu.

Wanita itu ligat membancuh adunan kek dan pastri yang dipesan pelanggan sebelum membakarnya ke dalam ketuhar.

Sesekali beliau menjeling pada skrin telefon pintar miliknya untuk membalas mesej dan menerima tempahan pelanggan yang dibuat menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook Messenger.

Fatimah bersyukur, tempahan kek dan pastri dari pelanggannya dari sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu membolehkan beliau memperolehi pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.

Menurut beliau yang merupakan ibu kepada tujuh cahaya mata berusia antara 13 dan 28 tahun, antara air tangannya yang mendapat tempatan dalam kalangan pelanggan ialah kek pelangi karamel dan kek gula hangus.

"Selain itu, saya juga menghasilkan paf krim, tat keju, tat buah-buahan, kek pelangi, kek coklat karamel, kek keju leleh, kek karamel kukus, kek hokkaido, kek buah dan brownies yang dijual pada harga antara RM5 hingga RM40 setiap satu.

"Saya turut mengambil tempatan membuat biskut raya pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri," katanya ketika ditemui di bengkel perusahaannya baru-baru ini.

Pasaran dan promosi

Fatimah memberitahu, beliau menggunakan laman Facebook dengan akaun bernama Teratai Putih bagi memasarkan dan mempromosikan kek dan pastri buatan air tangannya.
Tambah beliau, kebanyakan kek ditempah pelanggan dari sekitar daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijual dengan cara pembayaran ketika penerimaan.

Sungguhpun kek dan pastrinya mula mendapat tempat dalam kalangan pelanggan, Fatimah tidak pernah melupakan detik awal beliau bermula menceburkan perniagaan tersebut dengan penuh kesukaran.

Cerita Fatimah, semuanya bermula apabila dia bergelar ibu tunggal dan terpaksa berpindah ke rumah pusaka keluarga di Tepoh ini dari Marang untuk memulakan hidup baharu lebih lima tahun lalu.

Demi kelangsungan hidup, beliau nekad berniaga menjual nasi lemak dan nasi minyak bagi mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak.

Fatimah kemudiannya mendapat idea untuk menjadi pengusaha kek selepas mempelajari resepi kek pelangi menerusi Internet.

"Kek pelangi dihasilkan saya mula mendapat tempat dalam kalangan pelanggan sehingga mampu menghasilkan pendapatan bulanan kira-kira RM1,000 pada masa itu.

"Saya memberanikan diri membuat permohonan bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi membesarkan perniagaan pada tahun 2014," ujar beliau.

Fatimah memberitahu, MAIDAM tidak menunggu lama untuk meluluskan bantuan perniagaan sebanyak RM3,000 kepadanya tidak lama kemudian.

Ujar beliau, bantuan perniagaan berjumlah RM3,000 itu turut diterima pada tahun 2014 dan 2017 dan ia digunakan untuk membeli peralatan menghasilkan kek dan pastri seperti ketuhar, mesin pengadun kek, mesin pengisar dan peti sejuk beku.

Meningkatkan kemahiran

"Pada masa sama, saya turut meningkatkan kemahiran membuat kek dan pastri bagi mempelbagaikan produk jualannya sebagai ikhtiar untuk menambah pendapatan.
"Mungkin kerana melihat kesungguhan saya, MAIDAM telah bermurah hati membina bengkel perusahaan dengan kos RM8,000 di lokasi berhampiran bahagian dapur rumah sayapada tahun 2016," katanya.

Fatimah menambah, MAIDAM turut meluluskan pembelian peti sejuk bagi menyimpan kek dan pastri yang disiapkan dengan harga kira-kira RM3,000 pada tahun lalu.

"Saya bersyukur kepada Allah atas rezeki diberikan dan berterima kasih kepada MAIDAM dan pembayar zakat negeri ini.

"Bantuan yang telah dihulurkan membolehkan saya mampu bangkit dan mencapai impian menjadi pengusaha kek," katanya yang kini kembali berumah tangga bersama suami baharu, Salim Ibrahim Naina, 53, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment