Translate

Thursday, December 27, 2018

Guru maut Proton Persona rempuh pembahagi jalan

DUNGUN – Perjalanan pulang seorang guru wanita dari bercuti di kampung halaman berakhir dengan tragedi apabila kereta Proton Persona dipandunya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 362.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, Noraini Mohd., 34, yang juga Warden Asrama Puteri Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kece­deraan pada kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superinten­dan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Noraini yang memandu sendirian dalam perjalanan pulang untuk bertugas di SMK Dato’ Sedia Raja, Rembau selepas bercuti di kampung halamannya di Kampung Tetambah, Manir, Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi keja­dian, kereta Proton Persona dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.

“Impak daripada rempuhan itu menyebabkan guru wanita terbabit tercampak keluar sejauh beberapa meter dari kenderaannya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Baharudin berkata, pasukan perubatan yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian mengesahkan Noraini telah meninggal dunia.

Menurut beliau, mayat Noraini dibawa ke Unit Forensik, Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment