Translate

Sunday, December 30, 2018

Hotel Grand Puteri patuh syariah

HOTEL Grand Puteri yang terletak di Jalan Masjid Zainal Abidin, Kuala Terengganu tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sering menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung di ibu negeri Terengganu berkenaan.

Lokasi hotel tersebut sangat strategik kurang 100 meter dari Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu selain kira-kira satu kilometer dari Jeti Shahbandar iaitu akses ke Pulau Redang yang merupakan antara pulau peranginan terkenal di negeri tersebut.

Hotel itu turut mempunyai nilai tambah kerana berhampiran dengan Pasar Payang yang menjadi tumpuan untuk mendapatkan produk keluaran Terengganu malah dianggap sebagai ikon pelancongan Terengganu.

Tambah istimewa buat pelancong Muslim, Hotel Grand Puteri yang mula beroperasi pada 8 April 2013 terletak berhadapan dengan Masjid Abidin lebih dikenali sebagai Masjid Putih iaitu masjid tertua di Terengganu.

Ketua Penolong Setiuasaha (Pembangunan Harta dan Projek) Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Mohd. Jalil Ngah berkata, Hotel Grand Puteri yang bertaraf tiga bintang dibina di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan kos pembinaan kira-kira RM41.69 juta.
Menurut beliau, projek yang dibina di bawah Program Pembangunan Hartanah Wakaf, Rancangan Malaysia Kesembilan tersebut menggunakan konsep pajakan selama 25 tahun antara MAIDAM selaku pemberi pajak dan penerima pajak iaitu Yayasan Wakaf Malaysia.

"Tanah wakaf tidak boleh dijual beli, diwarisi dan dipindah milik kerana ia hak Allah manakala manfaat daripada pembangunannya boleh dipindahkan kepada masyarakat.

"Pulangan daripada keuntungan pembangunan Hotel Grand Puteri yang berkonsepkan hotel wakaf ini telah digunakan untuk membiayai pembesaran dan penyelenggaraan masjid, surau dan sekolah agama; program keagamaan dan pendidikan, bantuan dan keperluan sosial umat Islam," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pengurus Operasi Hotel Grand Puteri, Zaharah Abd. Rahman berkata, firma perhotelan, Puteri International Hotels telah diamanahkan untuk menguruskan Hotel Grand Puteri menerusi pembayaran premium tahunan kepada Yayasan Wakaf Malaysia.

Ujar beliau yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perhotelan, Hotel Grand Puteri merupakan hotel kedua berkonsepkan hotel wakaf diuruskan Puteri International Hotels selepas Pantai Puteri Hotel di Tanjung Keling, Melaka.

"Sebagai hotel wakaf, Hotel Grand Puteri mengamalkan konsep patuh syariah dengan seratus peratus makanan disajikan adalah halal dan mengambil sepenuhnya kakitangan Muslim menutup aurat.

"Kami mempunyai 87 kakitangan dengan 99 peratusnya daripada merupakan anak tempatan dan sebahagiannya daripada mereka juga terdiri daripada golongan asnaf," katanya.
Zaharah berkata, Hotel Grand Puteri mempunyai dua kolam renang yang memisahkan bahagian lelaki dan wanita menerusi pembinaan tembok.

Beliau berkata, bacaan al-Quran dan lagu-lagu nasyid juga dialunkan di koridor bilik hotel pada waktu antara solat Maghrib dan Isyak setiap hari.

"Selain itu, kami juga mengamalkan bacaan doa kesejahteraan yang juga boleh didengari di koridor bilik hotel untuk dibaca bersama-sama pelanggan pada setiap pukul 8.30 pagi," katanya.
Zaharah berkata, Hotel Grand Puteri yang setinggi tujuh tinggi mempunyai 180 bilik penginapan yang terbahagi kepada jenis iaitu standard, suite junior dan superior suite.

Menurut beliau, kadar bilik penginapan di hotel berkenaan ditetapkan pada kadar antara RM168 hingga RM428.

"Hotel Grand Puteri juga mempunyai enam dewan termasuk sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 250 tetamu. Restoran kami juga menampung 150 pelanggan untuk menjamu selera pada satu-satu masa," ujar beliau.
Zaharah memberitahu, selain makanan ala barat, Cina dan Melayu, pelanggan Hotel Grand Puteri juga ditawarkan sajian beridentitikan Terengganu seperti keropok lekor rebus dan goreng, pulut gaul nyior, ubi stelo rebus dan nasi dagang.

Ujar beliau, hotel tersebut terkenal dengan menu stimbot yang sahaja enak malah menawarkan berpatutan iaitu antara RM25 hingga RM28 seorang.

No comments:

Post a Comment