Oleh MOHD. AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Seorang pemandu lori berhadapan hukuman mati mandatori selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dipercayai mencuri beberapa tandan pisang di kebunnya di Alor Limbat, Marang awal bulan ini.
Tertuduh, Ismail Mohd. Don, 38, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes pembunuhan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Ismail didakwa membunuh Salahudin Ismail, 46, di sebuah rumah di Kampung Tembakang, Bukit Payung, Marang antara pukul 3.15 petang sehingga 4.45 petang, 3 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ismail kelihatan bersahaja sewaktu dibawa masuk dan keluar dari kamar mahkamah malah memberi kerjasama kepada jurufoto untuk merakam wajahnya.
“Hendak sangat ambil gambar aku kan, ambil, ambil,” katanya sambil tersengih sebelum memasuki kenderaan polis untuk dibawa pulang ke lokap di Penjara Marang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi, manakala Ismail tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan Ismail dibebaskan dengan ikat jamin.
Tarikh 21 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes berkenaan.
Kosmo! pada 5 Disember lalu melaporkan, seorang lelaki menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila dia dibelasah sampai mati oleh seorang pekebun dengan tandan pisang dan batang besi pada bahagian kepala.
Mangsa dipercayai mencuri beberapa tandan pisang nangka itu untuk dijual kepada seorang peraih di Kampung Tebakang di sini.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah selepas kepalanya dipercayai dipukul dengan tandan pisang dan batang besi.
No comments:
Post a Comment